Wednesday, January 6, 2016

KERESAHAN SUDAH KEMBALI

Assalamualaikum.

Alhamdulillah, masih dikurniakan kesihatan yang baik dan rasa taqwa kepada Allah. Dengan izinNya, aku meneruskan kehidupan sebagai seorang pendidik Ummah. Masuk hari ini, sudah 3 hari sesi persekolahan. Suasana dan azam baru. In Shaa Allah akan beroleh orang baharu juga dalam keluarga 9 bulan mendatang. Si kecil biar aku belum kenalpasti, aku rasakan dia ada dalam rahimku. Ni'mat yang tidak dapat digambarkan. Moga Allah kuatkan dia kali ini untuk bertahan sehingga lahir dan membesar menjadi sang pejuang agama.

Bak kata orang, sebelum punya anak sendiri belajar dahulu didik anak orang lain. Jangan berkasar, jangan pula bertegas sangat. Ada kelembutan dalam memberikan pengajaran dan nilai tambah. Seimbang dalam memberikan hukuman dan ganjaran. Tugas ini tugas para pendokong risalah Rasul. Sedang baginda SAW sendiri seorang pendidik ummah hingga akhir nafasnya memikirkan perihal ummah.

Anak, adalah anugerah. Anak, permata dan harapan ibubapa. Setiap hari aku dan para rakan sekerja berdepan dengan lebih kurang 300 anak dengan 1001 macam perilaku yang kadang sukar dimengertikan oleh bicara seorang dewasa. Ada sahaja karenah ibubapa yang hadir setiap pagi ke sekolah. Ragam anak yang bermacam itu sangat menguji kesabaran dan mental seorang pendidik. Bayangkan sahaja, sang anak yang usianya baru mencecah 7 tahun belum biasa dengan pengurusan diri seperti ke tandas, pergaulan dengan kawan, makan dan sebagainya. Sekolahku, panggilan kepada guru adalah Ummi dan Abi. Sekiranya ada masalah, dengan manja dan rengekan mereka akan datang mengadu semua permasalah biar sekecil kehilangan pemadam.(",)

Mengapa aku katakan bahawa keresahan sudah kembali? Setiap pendidik akan resah dan memikirkan tentang masa depan anak didiknya saban waktu. Samada dalam jaga mahupun lelap. Resah memikirkan bagaimana anak Syurga akan menerima setiap ilmu yang diberikan. Risau memikirkan bagaimana pula mereka akan membesar dengan ilmu yang dipelajari. Allah sebaik-baik tempat untuk mengadu. Beruntung sang pendidik. Resah dengan ummah pun mendapat pahala. Moga Allah berkati sang pendidik seluruhnya dalam mendidik Ummah. 

Dan aku? Pagi ini cacamarba. Pintasan pandangan ditambah dengan kelajuan fikiran saling berpaut. Melahirkan kesungguhan biar buat kerja pelbagai dalam satu masa. Aku masih sang pendidik. Sebagaimana bersungguhnya guru mendidikku 22 tahun lalu hingga aku sendiri menjadi pendidik. Tanpa jemu, dengan izinNya.

Friday, January 1, 2016

PENATNYA MENJADI SURI RUMAH!

Assalamualaikum! Selamat Tahun Baru 2016 Masihi. Allah masih panjangkan usia untuk hidup sehingga ke tahun ini. Alhamdulillah wal syukru lillah. Aku meneruskan kerjaya sebagai seorang guru agama dan al-Quran di sekolah kurang 10 minit dari teratak kecil aku dan suami. Biar ada yang meminta aku agar berhenti dek bebanan tanpa henti, aku tidak semena mengikuti. Masih ada tempoh untuk aku berikan khidmat kepada anak-anak yang amat aku kasihi. Anak-anak yang banyak mendoakan aku saban hari, yang merengek manja saban ketika dan selalu menjadi pengubat ketika berduka. Mereka anak-anak syurga.

Berbalik kepada pos hari ini, kata hati yang menjerit minta untuk diluahkan. Syabas kepada para ibu yang menjadi suri rumah. Yang dalam fikirnya asyik mengingatkan apa menu untuk setiap waktu ( sarapan, makan tengahari, minum petang dan makan malam ) kepada suami dan anak-anak. Yang dalam fikirnya untuk menghias dan mengemas rumah termasuklah sapu dan mop lantai, hilangkan sarang labah-labah dan merapikan halaman agar selesa. Yang memikirkan baju kotor untuk dibasuh, basuh bersih untuk dilipat dan baju buruk untuk digunapakai kegunaan lain. Yang asyik menjadi jururawat, guru dan kaunselor suami dan anak-anak. Yang mana sang ibu dahulunya cantik rupawan sudah melupakan kecantikan dan alat solek demi melihat suami dan anak-anaknya mendapat layanan dan prihatin sewajarnya. 

Tugasku sebagai pendidik, menuntut pengorbanan seharian suntuk ( 6.30 - 4.30 petang bagi tahun lalu, 6.30 - 3.45 petang tahun ini ) mendidik anak-anak syurga. Belum pun sempat pulang ke rumah selepas waktu bekerja, akan menemani suamiku ke surau-surau bagi menyampaikan kuliah Maghrib hampir setiap hari. Beza dengan waktu cuti persekolahan sepurnama lalu. Menjadi suri rumah sepenuh masa banyak mengajar erti kesabaran. Tidak lagi akan tidur selepas terbit mentari ( melainkan pernah aku terlelap dek kurang sihat ) kerana anak menyiapkan sarapan pagi ( waktu persekolahan, kami berdua akan bersarapan di sekolah masing-masing ) dan merapikan rumah apa adanya. 

Jujur, 40 hari percutian aku lelah dan mengah. Masih belum boleh menjadi surirumah sepenuh masa sebagaimana para ibu dan isteri lainnya. Masih ada kekurangan dan catat celanya. Namun aku akan terus belajar agar nanti mungkin satu masanya tiba aku akan berhenti berkhidmat, bina legasi niaga dan mendidik anak-anak sendiri. Akan punya masa lebih besar bersama ummah dan lebih penting bersama anak-anak. Biiznillah!

Apa pun posisimu para isteri, baik surirumah mahupun bekerja sepertiku wajib melorong tiap amal itu keranaNYa. Demi meraih maghfirah dan rahmatNya. Demi mengejar kebaikan dunia untuk kesenangan akhirat. Demi menggapai darjat isteri dan ibu yang solehah. Jauh dari sikap yang membinasakan dan menjatuhkan maruah suami dan ibubapa yang melahirkanmu. 

Para surirumah, jangan abaikan kecantikanmu. Biar comot dengan bau bawang dan kari, pastikan ada masa untuk berwangi dan sekurangnya bersih sedap mata memandang. Para wanita bekerjaya, jangan dagangkan kecantikanmu untuk dipandang lelaki lain. Cukup dandanan biasa agar jauh dari fitnah. Jaga lidah dan tingkahmu agar maruah suamimu tidak diinjak. Kerana kita pakaian dan cermin buat suami. Akan terpalit keburukan sekiranya culas menjaga diri. 

Akhir bicara pembuka tahun masih baru, ayuh semarakkan cinta kepada Rasulullah SAW dan Allah. Dakaplah rasa syukur sekuatnya dalam mengharung hidup sebagai seorang isteri. Cintai suamimu selagimana dia kuat iman kepada Allah. Bantu suamimu sekiranya dia tersasar. Sedarkan bahawa Allah sebaik-baik pemutus taqdir. Allahu Yubarik 'Alaina! Tulis semua harapanmu. Khabarkan isi hatimu pada suamimu agar dia juga tahu bahawa isterinya pingin dicintai lebih erat.