Tuesday, March 15, 2016

MUSLIMAH DILARANG GEDIK,LELAKI DITEGAH GATAL!

Assalamualaikum. Minggu ini minggu 'uthlah bagi asatizah dan anak-anak. Aku pulang masih berjaga tengahmalam kerana kantuk masih belum kunjung tiba. Terpanggil untuk menukil lagi.

Tajuk kali ini berkisar tentang " Muslimah dilarang gedik,lelaki ditegah gatal ". Penghayatan ilmu berkenaan batas pergaulan bukan sekadar mempelajarinya dalam bilik darjah sahaja tetapi kesannya itu dilihat pada perilaku apabila berada diluar daripada institusi pengajian atau rumah kediaman. 

Gedik. Maksud daripada Kamus Dewan Bahasa Edisi ke empat ialah tergedik-gedik lincah (bkn gadis); bergedik-gedik bergerak-gerak, terketar-ketar; menggedik-gedikkan menggerak-gerakkan (bahagian badan spt kaki dll sewaktu mengelamun); kegedikan keadaan (sifat) gedik: ~ tubuh badannya yg montok.

Entah siapa yang mula menggunakan perkataan ini aku sendiri tidak pasti. Yang aku tahu maksudnya adalah sikap yang menjengkelkan dengan pelaku utamanya adalah perempuan. Menjadi perkataan yang buatkan aku geram. Muslimah tidak perlu ada sikap gedik bagi meraih kejayaan dalam kehidupan. Terlalu ramai yang aku temui malah kenali memiliki sikap sebegini. Antaranya ada yang bergaya lenggok apabila berbicara dengan lelaki, yang menjadikan tiada kenderaan sebagai alasan menumpang kereta lelaki sudah berkahwin, meminta untuk dibelanja dengan sesuatu seperti makanan segera ( KFC ) atau diraikan hari lahirnya dan banyak lagi perkara yang bisa menambah rasa mualku.

Perempuan yang mahal dan menjadi rebutan untuk dijadikan permaisuri dalam rumahtangga adalah mereka yang tidak mempunyai sikap sedemikian. Ada yang sengaja minta perhatian lelaki tanpa mengira status ( lelaki bujang atau sudah berkahwin ) dengan nada suara yang halus dan manja, gaya bahasa tubuh yang menggoda malah sikap manja yang dibuat-buat. Kita yang melihat jadi segan dibuatnya. 

Gatal pula membawa banyak maksud. Antaranya ialah miang ( suka mengurat sehingga kadangkala membawa pada bersetubuh, biang, gasang; ~ jelatang ). Orang lelaki ada sikap gatal itu seolah menjurus kepada yang kurang elok. Namun bagi orang Asia seperti aku dan kau, orang begitu adalah yang reti menjaga mata dan tidak cukup ampuh menjaga kemaluanya. Jangan pula disamakan dengan yang menggaru badannya kerana sakit kulit yang dihadapi atau perilaku orang yang sedang mengantuk mahu tidur diwaktu malam.

Sangat menyeramkan apabila ada kenalan yang tidak gemar menjaga matanya apabila pada khalayak umum.Biar perempuan itu sudah menjadi isteri orang, dia tetap mahu menyapa. Sengaja melanggar batas syariat dengan menjadikan ukhuwah sebagai alasan. 

Bagiku orang seperti itu adalah gatal kerana gagal menjaga mata dan sikap. Apa gunanya menyapa isteri kawan sendiri? Sedangkan itu membuka ruang fitnah lebih besar. Apa gunanya bersikap mesra pada ajnabi sedangkan yang disapa pasti tidak selesa. Tidak jaga mata dan lidah, natijahnya fitnah dalam hati. Rosak binasa apa yang dituntut selama ini.

Gedik mahupun gatal, seorang hambaNya mesti usaha menjadikan dirinya semahal yang mungkin dengan menjauhi sikap sedemikian. Perempuan bujang itu martabatnya sangat perlu dijaga agar segera jodoh mendekatinya. Kerana dosanya juga masih menjadi tanggungjawab ayahnya. 

Sedangkan lelaki baik bujang mahupun berkahwin, wajib jaga mata dan hati apabila kelaur daripada rumah mahupun semasa berada di tempat kerja. Yang bujang ingatlah bahawa perempuan bujang benci pada kaki mengorat dan mengayat. Yang sudah kahwin, ingatlah anak dan isterimu. Jika gagal menjaga maruah diri, kelak amanah Allah buatmu juga akan tercalar. Isteri dan anakmu amanah buatmu. Didiklah dan pupuk jiwa untuk lebih cintanya mereka kerana Allah. Kerana melihat sikap gedik dan gatal itu sangatlah seram daripada menonton filem seram di kaca televisyen.

Ingatlah Firman Allah ini :


A059
Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar); cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu. Dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

Pakaian adalah cerminan keperibadian. Berpakaian labuh dan menutup aurat bukan syarat utama ke Syurga apabila tidak memilik akhlaq yang baik. Keperibadian pula cerminan taqwa. Perempuan baik itu yang menjaga tuturnya, tidak gedik apabila berbicara dengan lelaki. Manakala lelaki yang baik adalah yang ber'amal soleh ( berakhlaq baik ). Yang tidak gatal dan menjaga diri dari mendekati fitnah. Tambahan pula yang paling menggugat iman adalah perempuan. Tidak kira dia cantik mahupun biasa sahaja. 


A040
"Sesiapa yang mengerjakan sesuatu perbuatan jahat maka ia tidak dibalas melainkan dengan kejahatan yang sebanding dengannya; dan sesiapa yang mengerjakan amal soleh - dari lelaki atau perempuan - sedang ia beriman, maka mereka itu akan masuk Syurga; mereka beroleh rezeki di dalam Syurga itu dengan tidak dihitung.

Wallahu'alam. Sekian catatan 50 minit dariku. 

Wednesday, March 9, 2016

CEBIS DOA SOLAT KHUSUF

Assalamualaikum. Sekian dua purnama aku tidak menukilkan sebarang kata pada dada laman ini. kesibukan mengejar waktu dan mengisi kekosongan tiap malam dengan mendidik anak-anak hampir setiap hari usai Maghrib. Dan Encik.Suami masih dengan rutin mengisi tuntutan dakwah kepada ummah dengan menyampaikan ilmu untuk dimanfaatkan saban malam.

Alhamdulillah, sempat mengisi pagi dengan mendengar khutbah Solat Khusuf ( Solat Gerhana Matahari ). Dengan senyum juga apabila sahabat sekerja yang bertugas menjadi khatib mengisahkan betapa anak-anak wajar mengucapkan syukur ke hadrat Ilahi. Eh! Bukan anak-anak sahaja wajib bersyukur, orang dewasa yang baharu hidup 30 tahun ( termasuk 10 bulan dalam kandungan mami ) ini juga perlu melafazkan syukur yang bertingkat-tingkat. 

Sang teman membanding anak-anak dengan keadaan anak-anak di Palestina. Sedang aku jauh mengelamun terus terlena aman di lengan teman ( seorang muslimah solehah masih mencari imam yang sesuai buatnya ). Beberapa minit itu membawa aku pergi jauh hingga ke destinasi asing tetapi biasa dikunjungi dalam pejam. Detik sebentar membawaku menyapa Ghazzah rupanya. Tempat asing tetapi dirindui. Lantas mata pejam menjadi segar seketika terkenang pengorbanan dan kecekalan sahabat kami. Tidak pernah bersua muka tetapi mengenalinya lewat perjuangannya dan keazamannya. Dia memilih menjadi mujahid. Memayungi dan mengisi jiwa keluarga yang tanduskan kasih mesra seorang ayah dan isteri yang merindui cinta seorang suami. Menjadi tonggak dalam keluarga besar untuk terus tegar dalam usaha membebaskan Palestina dari cengkaman Zionis. 

Mengenangkan saat dia khabarkan akan hijrah ke Palestina lewat sempadan Sinai, Mesir hampir 5 tahun lalu tidak tergambar bahawa dia akan menjadi kental sehingga benar sudah menjadi sebahagian dari warga Palestina yang sekian aku rindui. Aku dan suamiku, masih sehingga kini mencari ruang dan peluang ke tanah itu. Namun tanah leluhur ini lagi menghimpit untuk terus menerus disirami keindahan kasih dan santunan mesra cinta Ilahi. Tetap juga menjadi pejuang di tanah sendiri. 

Bertuah dirimu, duhai sahabat. Kami mencemburuinya. Doaku agar segala impian yang dirimu kejar selama ini akan dapat digapai dan telah pun terlaksana separuhnya untuk dirimu isi dengan keteguhan cinta kepada Allah. Sebaik cinta adalah serahan diri kepada Al Kholiq, jasad dan jiwa. Dan kataku pada Encik.Suami agar tetap tegar menjadi mujahid atas tanah lahir sendiri. Mengisi ruang yang lompang dengan perkongsian rasa kasih kepada Ilahi. Dan andai Allah rezeqikan kami anak sulong adalah lelaki, dialah yang akan menjadi duta kecil kami merangkap mujahid bagi mengejar cita gelaran AsSyaheed atas tanah itu. Anak yang akan kami didik agar darahnya hanya tumpah di atas tanah Palestina jika itulah kehendakNya kelak. Dan doaku sentiasa agar lahir dari rahimku para pejuang yang berpencak dengan ilmu dan iman juga hafiz dengan isi al Quran serapinya. 

Sahabat, cebis kata ini buatmu.

Jadilah sebaik pejuang yang tidak jemu mentaatiNya.
Jadilah sebaik suami yang tidak jemu mengisi kasih buatNya bersama isterinya.
Jadilah sebaik ayah yang tidak segan menyantuni anak-anak yang dahaga kasih ayah.
Jadilah sebaik menantu yang tidak tahu penat mengisi ruang lompang bantu keluarga besarmu.
Jadilah sebaik anak yang sentiasa mengasihi ibu ayah dari kejauhan.
Dan paling utama, jadilah sebaik hambaNya yang tidak lekang melafazkan syukur dan melantuni maghfirah.

Enam pesan ini juga buat diriku dan suami. Yang kadang saat menerima ujian Allah selalu lupa mensyukuri bahawa masih ada cinta dan sayang untuk berpaut terus menyintai Allah selayaknya seorang hamba mengasihi PenciptaNya. Yang kadang saat Allah datangkan dugaan sering gugur air mata penyesalan sedang sebenarnya diri perlu bangun untuk terus melaksana perintahNya tanpa rasa jemu mahupun kesal. Dan yang pasti, kami akan utuskan mujahid kami menyoroti semangat dan kecekalan Palestina. Dengan iziNya.