Tajuk kali ini berkisar tentang " Muslimah dilarang gedik,lelaki ditegah gatal ". Penghayatan ilmu berkenaan batas pergaulan bukan sekadar mempelajarinya dalam bilik darjah sahaja tetapi kesannya itu dilihat pada perilaku apabila berada diluar daripada institusi pengajian atau rumah kediaman.
Gedik. Maksud daripada Kamus Dewan Bahasa Edisi ke empat ialah tergedik-gedik lincah (bkn gadis); bergedik-gedik bergerak-gerak, terketar-ketar; menggedik-gedikkan menggerak-gerakkan (bahagian badan spt kaki dll sewaktu mengelamun); kegedikan keadaan (sifat) gedik: ~ tubuh badannya yg montok.
Entah siapa yang mula menggunakan perkataan ini aku sendiri tidak pasti. Yang aku tahu maksudnya adalah sikap yang menjengkelkan dengan pelaku utamanya adalah perempuan. Menjadi perkataan yang buatkan aku geram. Muslimah tidak perlu ada sikap gedik bagi meraih kejayaan dalam kehidupan. Terlalu ramai yang aku temui malah kenali memiliki sikap sebegini. Antaranya ada yang bergaya lenggok apabila berbicara dengan lelaki, yang menjadikan tiada kenderaan sebagai alasan menumpang kereta lelaki sudah berkahwin, meminta untuk dibelanja dengan sesuatu seperti makanan segera ( KFC ) atau diraikan hari lahirnya dan banyak lagi perkara yang bisa menambah rasa mualku.
Perempuan yang mahal dan menjadi rebutan untuk dijadikan permaisuri dalam rumahtangga adalah mereka yang tidak mempunyai sikap sedemikian. Ada yang sengaja minta perhatian lelaki tanpa mengira status ( lelaki bujang atau sudah berkahwin ) dengan nada suara yang halus dan manja, gaya bahasa tubuh yang menggoda malah sikap manja yang dibuat-buat. Kita yang melihat jadi segan dibuatnya.
Gatal pula membawa banyak maksud. Antaranya ialah miang ( suka mengurat sehingga kadangkala membawa pada bersetubuh, biang, gasang; ~ jelatang ). Orang lelaki ada sikap gatal itu seolah menjurus kepada yang kurang elok. Namun bagi orang Asia seperti aku dan kau, orang begitu adalah yang reti menjaga mata dan tidak cukup ampuh menjaga kemaluanya. Jangan pula disamakan dengan yang menggaru badannya kerana sakit kulit yang dihadapi atau perilaku orang yang sedang mengantuk mahu tidur diwaktu malam.
Sangat menyeramkan apabila ada kenalan yang tidak gemar menjaga matanya apabila pada khalayak umum.Biar perempuan itu sudah menjadi isteri orang, dia tetap mahu menyapa. Sengaja melanggar batas syariat dengan menjadikan ukhuwah sebagai alasan.
Bagiku orang seperti itu adalah gatal kerana gagal menjaga mata dan sikap. Apa gunanya menyapa isteri kawan sendiri? Sedangkan itu membuka ruang fitnah lebih besar. Apa gunanya bersikap mesra pada ajnabi sedangkan yang disapa pasti tidak selesa. Tidak jaga mata dan lidah, natijahnya fitnah dalam hati. Rosak binasa apa yang dituntut selama ini.
Gedik mahupun gatal, seorang hambaNya mesti usaha menjadikan dirinya semahal yang mungkin dengan menjauhi sikap sedemikian. Perempuan bujang itu martabatnya sangat perlu dijaga agar segera jodoh mendekatinya. Kerana dosanya juga masih menjadi tanggungjawab ayahnya.
Sedangkan lelaki baik bujang mahupun berkahwin, wajib jaga mata dan hati apabila kelaur daripada rumah mahupun semasa berada di tempat kerja. Yang bujang ingatlah bahawa perempuan bujang benci pada kaki mengorat dan mengayat. Yang sudah kahwin, ingatlah anak dan isterimu. Jika gagal menjaga maruah diri, kelak amanah Allah buatmu juga akan tercalar. Isteri dan anakmu amanah buatmu. Didiklah dan pupuk jiwa untuk lebih cintanya mereka kerana Allah. Kerana melihat sikap gedik dan gatal itu sangatlah seram daripada menonton filem seram di kaca televisyen.
Ingatlah Firman Allah ini :
Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar); cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu. Dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
Pakaian adalah cerminan keperibadian. Berpakaian labuh dan menutup aurat bukan syarat utama ke Syurga apabila tidak memilik akhlaq yang baik. Keperibadian pula cerminan taqwa. Perempuan baik itu yang menjaga tuturnya, tidak gedik apabila berbicara dengan lelaki. Manakala lelaki yang baik adalah yang ber'amal soleh ( berakhlaq baik ). Yang tidak gatal dan menjaga diri dari mendekati fitnah. Tambahan pula yang paling menggugat iman adalah perempuan. Tidak kira dia cantik mahupun biasa sahaja.
"Sesiapa yang mengerjakan sesuatu perbuatan jahat maka ia tidak dibalas melainkan dengan kejahatan yang sebanding dengannya; dan sesiapa yang mengerjakan amal soleh - dari lelaki atau perempuan - sedang ia beriman, maka mereka itu akan masuk Syurga; mereka beroleh rezeki di dalam Syurga itu dengan tidak dihitung.
Wallahu'alam. Sekian catatan 50 minit dariku.

