Assalamualaikum.
Alhamdulillah, masih dikurniakan kesihatan yang baik dan rasa taqwa kepada Allah. Dengan izinNya, aku meneruskan kehidupan sebagai seorang pendidik Ummah. Masuk hari ini, sudah 3 hari sesi persekolahan. Suasana dan azam baru. In Shaa Allah akan beroleh orang baharu juga dalam keluarga 9 bulan mendatang. Si kecil biar aku belum kenalpasti, aku rasakan dia ada dalam rahimku. Ni'mat yang tidak dapat digambarkan. Moga Allah kuatkan dia kali ini untuk bertahan sehingga lahir dan membesar menjadi sang pejuang agama.
Bak kata orang, sebelum punya anak sendiri belajar dahulu didik anak orang lain. Jangan berkasar, jangan pula bertegas sangat. Ada kelembutan dalam memberikan pengajaran dan nilai tambah. Seimbang dalam memberikan hukuman dan ganjaran. Tugas ini tugas para pendokong risalah Rasul. Sedang baginda SAW sendiri seorang pendidik ummah hingga akhir nafasnya memikirkan perihal ummah.
Anak, adalah anugerah. Anak, permata dan harapan ibubapa. Setiap hari aku dan para rakan sekerja berdepan dengan lebih kurang 300 anak dengan 1001 macam perilaku yang kadang sukar dimengertikan oleh bicara seorang dewasa. Ada sahaja karenah ibubapa yang hadir setiap pagi ke sekolah. Ragam anak yang bermacam itu sangat menguji kesabaran dan mental seorang pendidik. Bayangkan sahaja, sang anak yang usianya baru mencecah 7 tahun belum biasa dengan pengurusan diri seperti ke tandas, pergaulan dengan kawan, makan dan sebagainya. Sekolahku, panggilan kepada guru adalah Ummi dan Abi. Sekiranya ada masalah, dengan manja dan rengekan mereka akan datang mengadu semua permasalah biar sekecil kehilangan pemadam.(",)
Mengapa aku katakan bahawa keresahan sudah kembali? Setiap pendidik akan resah dan memikirkan tentang masa depan anak didiknya saban waktu. Samada dalam jaga mahupun lelap. Resah memikirkan bagaimana anak Syurga akan menerima setiap ilmu yang diberikan. Risau memikirkan bagaimana pula mereka akan membesar dengan ilmu yang dipelajari. Allah sebaik-baik tempat untuk mengadu. Beruntung sang pendidik. Resah dengan ummah pun mendapat pahala. Moga Allah berkati sang pendidik seluruhnya dalam mendidik Ummah.
Dan aku? Pagi ini cacamarba. Pintasan pandangan ditambah dengan kelajuan fikiran saling berpaut. Melahirkan kesungguhan biar buat kerja pelbagai dalam satu masa. Aku masih sang pendidik. Sebagaimana bersungguhnya guru mendidikku 22 tahun lalu hingga aku sendiri menjadi pendidik. Tanpa jemu, dengan izinNya.
No comments:
Post a Comment