Assalamualaikum. Sekian dua purnama aku tidak menukilkan sebarang kata pada dada laman ini. kesibukan mengejar waktu dan mengisi kekosongan tiap malam dengan mendidik anak-anak hampir setiap hari usai Maghrib. Dan Encik.Suami masih dengan rutin mengisi tuntutan dakwah kepada ummah dengan menyampaikan ilmu untuk dimanfaatkan saban malam.
Alhamdulillah, sempat mengisi pagi dengan mendengar khutbah Solat Khusuf ( Solat Gerhana Matahari ). Dengan senyum juga apabila sahabat sekerja yang bertugas menjadi khatib mengisahkan betapa anak-anak wajar mengucapkan syukur ke hadrat Ilahi. Eh! Bukan anak-anak sahaja wajib bersyukur, orang dewasa yang baharu hidup 30 tahun ( termasuk 10 bulan dalam kandungan mami ) ini juga perlu melafazkan syukur yang bertingkat-tingkat.
Sang teman membanding anak-anak dengan keadaan anak-anak di Palestina. Sedang aku jauh mengelamun terus terlena aman di lengan teman ( seorang muslimah solehah masih mencari imam yang sesuai buatnya ). Beberapa minit itu membawa aku pergi jauh hingga ke destinasi asing tetapi biasa dikunjungi dalam pejam. Detik sebentar membawaku menyapa Ghazzah rupanya. Tempat asing tetapi dirindui. Lantas mata pejam menjadi segar seketika terkenang pengorbanan dan kecekalan sahabat kami. Tidak pernah bersua muka tetapi mengenalinya lewat perjuangannya dan keazamannya. Dia memilih menjadi mujahid. Memayungi dan mengisi jiwa keluarga yang tanduskan kasih mesra seorang ayah dan isteri yang merindui cinta seorang suami. Menjadi tonggak dalam keluarga besar untuk terus tegar dalam usaha membebaskan Palestina dari cengkaman Zionis.
Mengenangkan saat dia khabarkan akan hijrah ke Palestina lewat sempadan Sinai, Mesir hampir 5 tahun lalu tidak tergambar bahawa dia akan menjadi kental sehingga benar sudah menjadi sebahagian dari warga Palestina yang sekian aku rindui. Aku dan suamiku, masih sehingga kini mencari ruang dan peluang ke tanah itu. Namun tanah leluhur ini lagi menghimpit untuk terus menerus disirami keindahan kasih dan santunan mesra cinta Ilahi. Tetap juga menjadi pejuang di tanah sendiri.
Bertuah dirimu, duhai sahabat. Kami mencemburuinya. Doaku agar segala impian yang dirimu kejar selama ini akan dapat digapai dan telah pun terlaksana separuhnya untuk dirimu isi dengan keteguhan cinta kepada Allah. Sebaik cinta adalah serahan diri kepada Al Kholiq, jasad dan jiwa. Dan kataku pada Encik.Suami agar tetap tegar menjadi mujahid atas tanah lahir sendiri. Mengisi ruang yang lompang dengan perkongsian rasa kasih kepada Ilahi. Dan andai Allah rezeqikan kami anak sulong adalah lelaki, dialah yang akan menjadi duta kecil kami merangkap mujahid bagi mengejar cita gelaran AsSyaheed atas tanah itu. Anak yang akan kami didik agar darahnya hanya tumpah di atas tanah Palestina jika itulah kehendakNya kelak. Dan doaku sentiasa agar lahir dari rahimku para pejuang yang berpencak dengan ilmu dan iman juga hafiz dengan isi al Quran serapinya.
Sahabat, cebis kata ini buatmu.
Jadilah sebaik pejuang yang tidak jemu mentaatiNya.
Jadilah sebaik suami yang tidak jemu mengisi kasih buatNya bersama isterinya.
Jadilah sebaik ayah yang tidak segan menyantuni anak-anak yang dahaga kasih ayah.
Jadilah sebaik menantu yang tidak tahu penat mengisi ruang lompang bantu keluarga besarmu.
Jadilah sebaik anak yang sentiasa mengasihi ibu ayah dari kejauhan.
Dan paling utama, jadilah sebaik hambaNya yang tidak lekang melafazkan syukur dan melantuni maghfirah.
Enam pesan ini juga buat diriku dan suami. Yang kadang saat menerima ujian Allah selalu lupa mensyukuri bahawa masih ada cinta dan sayang untuk berpaut terus menyintai Allah selayaknya seorang hamba mengasihi PenciptaNya. Yang kadang saat Allah datangkan dugaan sering gugur air mata penyesalan sedang sebenarnya diri perlu bangun untuk terus melaksana perintahNya tanpa rasa jemu mahupun kesal. Dan yang pasti, kami akan utuskan mujahid kami menyoroti semangat dan kecekalan Palestina. Dengan iziNya.
No comments:
Post a Comment