Thursday, December 31, 2015

KEINGINAN BOLEH BAWA ISTERI KE NERAKA

Assalamualaikum. Hari ini 31 Disember 2015. Hari terakhir bagi tahun yang penuh suka duka termasuk aku. Yang tahun ini, bertukar status menjadi isteri. 2 hari lagi genap setahun untuk Masihi. Yang tahun ini, kehilangan teman jua abang buat selamanya dalam dakapan Ilahi. AlFatihah! Yang tahun ini, membina hubungan dengan keluarga yang lebih besar. Penuh ranjau lagi untuk ditempuhi tahun mendatang.

Saat aku menyiapkan makan malam dengan bahan apa adanya, tidak semena air mataku mengalir. Barangkali terkesan dengan lagu yang mendayu aku pasang bagi memecahkan kesunyian petang. Mengharung kehidupan menjadi seorang isteri ada masam dan manisnya. Bukan semua keinginan akan dapat dipenuhi bak permaisuri di istana. Bukan semua permintaan akan dapat diisi. 

Isteri itu terlalu banyak keinginan. Antaranya :

1. Memiliki produk kecantikan yang sama seperti orang lain.
2. Bercuti di tempat yang diidamkan ketika masih bujang.
3. Memakai barangan kemas yang sarat pada jemari.
4. Menyimpan wang untuk keperluan sendiri.
5. Mendapat zuriat ( bagi yang masih belum punya rezeki anak )

Namun ketahuilah bahawa bukan semua keinginan akan menjadi nikmat untuk dirasai. Segalanya bergantung dengan kesungguhan dan kekuatan yakin kita kepada rezeki dari Allah. Bersifat Qana'ah. Itu sebaiknya seorang isteri.

Terkenang bila pernah aku pinta kepada suamiku sekotak air Yogurt. Disebabkan aku tidak dapat menghadam susu segar, maka terliur pula apabila terpandang sebaris manusia yang menunggu giliran untuk dilayan pesanan. Dan aku, bagai tidak mengerti kesulitan pula meminta. Dengan lembut dia memegang lengan dan genggam erat jemariku. Lantas memimpin aku jauh dari khalayak. Aku memahami apabila dia menyeka air mataku dan pandanganku yang kelabu. Aku bukanlah isteri yang sempurna tetapi aku cuba menjadi solehah buatnya. Tidak akan aku sanggup meminta yang sepatutnya biar ianya murah dan kecil. Lebih takut jika hanya akan heret aku nanti ke Neraka. Jangan kerana sekotak Yogurt, Neraka adalah tempatku nanti.

Dalam perkahwinan, isteri harus punya hati yang besar dan kental. Menangis itu benar senjata. Andai sakit, keluarkan air matamu semahunya. Dan jika aku menangis, suamiku tidak akan keruan. Lagaknya mahu juga turut menangis buatkan aku ketawa suka. Dan biasanya akan aku katakan bahawa buruklah rupa andai bakal seorang abi itu menangis. 

Saat suamimu ada kesukaran, genggam erat jemarinya. Jadilah penasihat dan penunjuk jalan yang terbaik buatnya.

Saat suamimu buntu, usaplah dadanya agar tingkatkan sabar. Jadilah doktor dan perawat jiwanya. 

Saat suamimu terluka, gembirakan dirinya dengan lagakmu yang comel dan bersahaja. Khabarkan padanya bahawa setiap ujian itu hadiah dari Allah agar lebih beriman. 

Saat suamimu lelah dengan perkerjaannya, janganlah bebel dan bertanya itu dan ini. Sibukkan dirimu menyiapkan juadah. Setidaknya pun walau hanya secawan teh kosong.

Saat suamimu sugul tidak bermaya, ajak dia ceria semula. Dengarlah apa yang menyenangkan hati bersama biar sebenarnya suamimu bukanlah penggemar yang sama.

Saat suamimu kesempitan, jangan pinta diluar kemampuan. Syukurilah seadanya. Itu akan menjadi mahar kita ke Syurga. Janji Allah buat para isteri yang solehah itu kan SyurgaNYA.

Ajaklah suamimu untuk sama beribadah dan berdoa bersama. Dan para isteri, fahami bahawa suami itu bukanlah waktunya hanya untuk bercinta dengan kita. Dia jua pejuang agama, dia juga pendidik ummah malah dia juga pemimpin rumahtangga. Seluruh masa dan tenaganya hanya memikirkan yang terbaik buat keluarga. Tidak sekelumit pun untuk dibazirkan. Faham dan teladani. Kerana kita madrasah ummah!

No comments:

Post a Comment