Dia lah (Allah) yang menciptakan kamu semua dari (hakikat) diri yang satu, dan Ia mengadakan daripada hakikat itu pasangannya (diri suami isteri), untuk bersenang hati dan hidup mesra yang satu kepada yang lain. Ketika suami mencampuri isterinya, mengandunglah ia dengan kandungan yang ringan, serta teruslah ia dengan keadaan itu (ke suatu waktu). Kemudian ketika ia merasa berat (dan menaruh bimbang) berdoalah suami isteri itu kepada Tuhan mereka (dengan berkata):" Sesungguhnya jika Engkau (wahai Tuhan kami) mengurniakan kami nikmat yang baik, tentulah kami menjadi orang-orang yang bersyukur".
Al-A'raaf 7:189
Hidup adalah putaran masa. Ini pos pertama mendekati tahun 2016. Status sebagai seorang isteri dan dengan izin Allah nanti akan menjadi seorang ibu. Kenapa pos pertama aku pilih untuk kita memaknakan isteri dalam diri kerana masih ramai lagi para isteri atau bakal isteri yang masih belum mengerti mengapa selepas dia bernikah dengan suaminya tanggungjawab dan pengorbanannya semakin besar. Berbeza dengan sebelumnya yang bebas dan mengikut kemahuan hati sendiri.
Isteri adalah status yang sangat didambakan semua perempuan yang bujang dan perawan. Sehingga ada yang membayangkan bahawa hidup selepas berkahwin sentiasa bahagia, penuh warna-warni. Lain pula dengan lelaki bujang dan teruna. Status suami adalah yang sangat digeruni. Membayangkan sahaja bagaimana perubahan selepas berkahwin adalah mimpi ngeri. Hanya yang berani sahaja mampu melangkah dengan status itu biar jiwanya tidak 100% bersedia menggalas amanah.
Isteri juga adalah status yang sangat digeruni semua perempuan. Banyak yang akan dihadapi dan cuba ditangani mereka yang bergelar isteri termasuklah diriku sendiri. Tidak mengapa. Dalam blog ini, In Shaa Allah kita akan sama harungi onak dan duri sebagai seorang isteri, ibu dan bidadari dalam rumahtangga.
Makna seorang isteri dalam Islam adalah penjaga kehormatan suaminya, menjadi penasihat dan permaisuri.
Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir.
(Ar-Ruum 30:21)Isteri juga penyejuk mata dan penghibur lara buat suaminya dalam bersama menggapai cinta dan rahmat Allah.
Dan juga mereka (yang diredhai Allah itu ialah orang-orang) yang berdoa dengan berkata: "Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.
(Al-Furqaan 25:74)Dengan kata lainnya, isteri adalah sekolah atau madrasah pertama bagi zuriat keturunan yang akan dilahirkan. Seorang lelaki berhak punya sikap cerewet dalam memilih bakal isterinya. Begitu juga sebaliknya bagi seorang perempuan wajar cerewet dalam menentukan siapa yang akan diterima menjadi suami, imam dan pemimpin isteri dan anak-anak. Tapi harus difahami bahawa jangan terlalu memilih, tidak pula terlalu leceh dan paling ditakuti berpura dalam menerima kekurangan sehingga akhirnya melukai.
Akhir kata bagi pos pertama ini ialah carilah makna isteri untuk menjadi pegangan hidupmu. Ingatilah kembali sebab pernikahan saat dirimu memilih suamimu setelah tanggungjawab dari ayahmu sudah diserahkan kepada suamimu. Hidup pernikahan tidak selalunya manis. Ada juga masam, masin malah pahit. Lengkap dengan pelbagai perisa. Saling melengkapi dan memahami. Malah cuba mengikut contoh para isteri Anbiya dan sahabat agar tidak menyimpang jauh daripada jalan yang Allah ridhoi. Selamat menjadi isteri buat diriku, dirimu dan mereka yang dambakan status isteri.
No comments:
Post a Comment